Kelahiran Cahayamata Kami Yang Pertama!

Alhamdulillah... Pada jam 8.27 pagi 16.01.2010, isteriku selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 2.54kg di Hospital Sungai Buloh. Isteri dan anakku selamat dan berkeadaan baik sewaktu aku dibenarkan masuk untuk mengazankan baby kami.

Kelahiran baby kami ini awal 2 minggu dari tarikh yang dijangkakan iaitu 1 Februari 2010. Tidak kisahlah, yang penting mereka berdua selamat.

Pada hari sebelumnya, aku telah menghantar isteriku pada jam 12.30 tengahari ke Hospital Sungai Buloh kerana isteriku mengadu sakit dan ada darah mulai keluar. Pihak hospital yang memeriksa isteriku mengatakan terdapat bukaan 1cm dan masih terlalu awal. Kami sempat menghubungi ibu bapaku di Kelantan untuk memberitahu hal ini dan tidak disangka mereka mahu datang ke malam itu juga dengan menaiki bas ekspres. Pada jam 7.00 malam, aku membawa isteriku pulang ke rumah.


Walau bagaimanapun, pada jam 1.00 pagi isteriku mulai sakit perut yang teramat sangat. Aku kembali membawanya ke hospital pada jam 3 pagi. Sejurus isteriku dimasukkan ke dewan bersalin untuk pemeriksaan, aku terus bergegas ke Hentian Putra untuk mengambil ibu bapaku.

Setelah kembali semula ke hospital, aku dan ibu bapaku menanti berita dari jururawat berkenaan isteriku. Begitu lama kami menanti.

Lebih kurang jam 9.30 pagi, tiba-tiba jururawat memanggil namaku untuk masuk ke wad bersalin. Aku sedikit tergamam kerana panggilan begitu biasanya untuk melihat isteri dan anak yang dilahirkan. Di Hospital Sungai Buloh, suami tidak dibenarkan masuk ke dewan bersalin melihat isteri melahirkan anak.


Ketika melihat isteriku dan anak sulungku, hatiku benar-benar gembira dan terharu. Sukar untuk digambarkan segala perasaanku hingga aku hampir menitiskan airmata. Mungkin salah satu sebab airmataku tidak mahu keluaradalah disebabkan ada 4 orang jururawat di dalam bilik tersebut yang memerhatikan kami.


Kini kembara kehidupan kami adalah bertiga untuk meniti liku-liku kehidupan yang penuh cabaran. Ibu bapaku begitu gembira dengan kelahiran cucu sulung mereka dan inilah hadiah yang amat bermakna dalam kehidupan kami semua.

0 ulasan: